PENGENALAN
Unit Hal Ehwal Murid (HEM) adalah satu bidang yang penting dan rencam tugasnya. Hal ini adalah kerana unit ini adalah pelaksana dasar dan berkaitan dengan kelompok manusia remaja yang merupakan pelanggan utama di sekolah. Persekitaran yang mencabar menuntut kesabaran dan komitmen yang tinggi daripada unit HEM dalam melaksanakan dasar bagi memantapkan sistem pengurusan murid, membina sahsiah murid yang unggul, menjaga kebajikan murid dengan memenuhi keperluan mereka di sekolah dan di asrama, memastikan mereka sihat dan selamat di samping kecemerlangan dalam akademik.
Bagi mencapai matlamat ini, pengurusan disiplin yang sistematik dan konsisten, perkembangan emosi yang stabil dan kebajikan murid perlu diberi perhatian supaya akan lahir insan yang seimbang dari segi sahsiah, emosi, rohani, jasmani dan intelek serta berdaya saing dan produktif.
Pengurusan Unit HEM memerlukan kerjasama daripada semua pihak yakni pentadbir, guru, anggota pelaksana, ibu bapa dan masyarakat untuk melaksanakan program-program yang akan menghasilkan modal insan yang berguna dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
